Sunday, September 26, 2010

jakarta bakal tenggelam!

Views
PENDUDUK Jakarta seolah-oleh tidak peduli terhadap kemungkinan kota metropolitan itu akan runtuh dalam tempoh 50 tahun lagi. Ia dikatakan berpunca daripada penggunaan air bawah tanah yang berleluasa berikutan terlalu kurang bekalan air bersih yang disalurkan ke rumah-rumah dan bangunan di seluruh Jakarta.
Namun kejadian sebahagian jalan di Jakarta Utara runtuh akibat hakisan mula membimbangkan warga Jakarta mungkin buat seketika.
Selain daripada hakisan air laut, ia juga dikatakan berpunca daripada penggunaan air bawah tanah yang tidak terkawal.
Walaupun menyedari risiko yang harus ditanggung, tetapi para penduduk Jakarta sebenarnya tidak mempunyai pilihan kerana mereka memerlukan bekalan air bersih yang tidak dapat dibekalkan oleh kerajaan.
Ketua Institut Hijau Indonesia, Chalid Muhammad mengatakan penggunaan air bawah tanah telah mencapai tahap merbahaya dan akan menyebabkan tanah di Jakarta semakin mendap.
Menurut kajian beliau, kota Jakarta mempunyai potensi air bawah tanah sebanyak 532 juta meter padu setahun. Namun penyerapannya mencapai 251.8 juta meter padu setahun. Padahal daripada penilaiannya, batas selamat penggunaan air bawah tanah di Jakarta adalah hanya 186.2 juta meter padu setahun. “Itu berlebihan sebanyak 66.6 juta meter padu setahun,” kata Chalid.

Pandangan

Pensyarah Fakulti Perikanan dan Kelautan Institut Pertanian Bogor, Alan Koropitan juga mempunyai pandangan yang sama bahawa penggunaan air bawah tanah mengurangkan keteguhan tanah.
Situasi itu menjadi bertambah parah kerana di seluruh Jakarta terlalu banyak projek pembinaan bangunan mencakar langit yang memerlukan tempat letak kenderaan di dalam tanah.
“Kalau di bawahnya kosong kerana air bawah tanahnya sudah diambil dan dari atas tekanannya semakin tinggi, maka ia dapat menurunkan permukaan tanah,” jelas beliau.
Pensyarah Perencana Tata Kota Universiti Tarumanegara, Darrundono mengingatkan agar pembangunan infrastruktur di Jakarta dihentikan. Darrundono menyatakan hal tersebut pada seminar bertajuk: Tenggelamnya Jakarta di Jakarta baru-baru ini.
“Hentikan dulu semua pembangunan dan satu kajian harus dilakukan bagi mengetahui keteguhan tanah di Jakarta,” katanya.
Beliau yakin tanah di Jakarta tidak lagi mampu menampung pembangunan bangunan-bangunan mencakar langit yang begitu giat di kota berkenaan.
Banyak kawasan di Jakarta yang sepatutnya menjadi kawasan tadahan hujan kini menjadi kawasan perumahan dan pusat membeli-belah seperti bagaimana yang berlaku di kawasan Kelapa Gading.
Situasi itu memburukkan lagi ekologi di Jakarta kerana kawasan lapang di kota berkenaan kini hanya sekitar 13 peratus berbanding kadar yang sepatutnya adalah 30 peratus.
Jadi teori Jakarta akan tenggelam dalam tempoh 50 tahun lagi mungkin benar-benar berlaku jika pihak berkuasa tempatan tidak mengambil langkah sewajarnya menghentikan pembinaan dan penggunaan air bawah tanah berlebihan di Jakarta.

KERJA-KERJA memperbaiki jalan di Jakarta Utara yang runtuh akibat pemendapan tanah, giat dijalankan.

0 doakan mika gemuk:

Post a Comment

LOVE

Daisypath Anniversary tickers